Beberapa tahun lalu, hati saya benar-benar tertarik dengan satu ‘movie’ yang saya tonton. Tajuknya ialah “A Knight’s Tale”. Filem ini dilakonkan oleh mendiang Heath Ledger, yang begitu dikenali berlakon sebagai Joker di dalam movie Batman, Dark Knight. Beberapa hari lepas, hati saya terdetik kembali mengenang satu babak di dalam movie ini yang benar-benar menyentuh hati saya.Apa yang benar-benar menarik perhatian saya mengenai filem ini ialah satu babak di mana watak William (hero cerita ini) semasa kanak-kanak bertanya kepada ayahnya, “Father, can we change our star?” yang bermaksud lebih kurang, “Ayah, bolehkah kita menukar bintang kita?”

Apa yang dimaksudkan dengan soalan ini ialah bolehkah kita menukar hidup kita kepada hidup yang lebih senang, mewah dan berjaya. Di awal cerita ini, digambarkan ayah William ialah seorang yang hidup susah tetapi sentiasa yakin bahawa anaknya William boleh menukar kehidupannya kepada yang lebih baik.

Fokus saya di sini ialah soalan itu tadi, “bolehkah kita menukar bintang kita?”Jika kita hidup sederhana atau susah sekarang, bolehkah kita tukar cara dan gaya kehidupan kita? Jika kita tidak puas hati dengan pendapatan yang kita dapat sekarang, bolehkah kita menukarnya? Jika kita tidak suka dengan keputusan peperiksaan dan tidak suka cara orang memandang rendah kepada kebolehan kita, bolehkah kita menukarnya? Jika boleh, apakah cara atau jalan yang terbaik dan terjamin?

Hati saya terdetik dan mengimbas kembali babak cerita ini apabila ada seorang saudara (yang ada pertalian darah) datang meminta nasihat kepada saya. Saudara saya ini hidupnya agak susah memandangkan pendapatan suami isteri amat rendah dan mereka pula mempunyai anak seramai 8 orang. Nasihat yang diminta adalah mengenai anaknya (sekolah menengah tingkatan 2) yang sudah mula malas belajar dan selalu mahu ponteng sekolah. Dia bertanya apakah yang boleh dilakukan?Setelah saya berikan beberapa pendapat peribadi saya, saya sampaikan mesej ini kepada saudara saya ini. Mesej ini amat dekat di hati saya. Saya kata padanya, semaikan di dalam diri anak-anaknya dan pastikan anak-anaknya dapat ingat mesej ini.

Mesejnya ialah, jika mereka mahu ‘MENGUBAH BINTANG‘ mereka, PENDIDIKAN adalah satu jalan yang sangat baik. Ada orang mengubah bintang dengan memenangi pertandingan nyanyian dan lakonan, menjadi selebriti, menang loteri, mewarisi harta yang tidak disangka dan berbagai-bagai cara lagi.Namun tidak semua orang boleh menjadi juara nyanyian atau lakonan. Tidak semua orang boleh menjadi selebriti tiba-tiba. Apa yang semua orang boleh dapat peluang yang sama (atau hampir sama) ialah melalui pendidikan.Pendidikan bukan sahaja menjanjikan segulung ijazah, tetapi memberi peluang untuk meluaskan cara berfikir.

Jika kita boleh berfikir dengan baik, akan terbuka jalan yang lebih luas di hadapan kita tentang cara untuk mengubah hidup kita.Mesej saya ini juga meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada saudara saya ini. Ini kerana satu ketika dahulu, semasa dia berpeluang melanjutkan pelajaran, dia tinggalkan peluang tersebut dengan harapan untuk bekerja dan dapat buat duit dengan lebih cepat.

Benar, terus bekerja selepas SPM memberikan pulangan kewangan yang lebih cepat. Namun apabila sampai masanya, ulangan itu akan jadi terlalu kecil dan malangnya, ia tidak boleh diubah lagi.Jadi, inilah pesan saya kepada anak-anak saya, adik saya dan sesiapa yang mengenali diri saya, pilihlah PENDIDIKAN sebagai satu jalan untuk MENGUBAH BINTANG kita.

Similar Threads ::